Sejarah UiTM Kampus Kuala Pilah

Kampus sementara UiTM Negeri Sembilan mula beroperasi pada 1 Jun 1999 dengan mengambil alih Kompleks Pertanian Negeri Sembilan Timur, Kementerian Pertanian di Jalan Melang, Kuala Pilah. Pengambilan kumpulan pertama pelajar sesi Jun 1999 ialah seramai 166 orang. Kampus ini hanya menawarkan Program Pra-Diploma Sains.

Projek pembinaan kampus tetap UiTM Cawangan Negeri Sembilan pada kawasan seluas 160 ekar di Mukim Parit Tinggi telah dimulakan pada 13 Mac 2007. Majlis pecah tanah telah dirasmikan pada 23 Ogos 2007 oleh Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi yang ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia. Pada akhir 2009, serahan tapak telah dilakukan antara pihak kontraktor dan UiTM.

UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Beting mula beroperasi 1 Jun 2009 dengan 2 program Ijazah, 4 program Diploma dan program Pra Sains. Semester Julai 2010 menyaksikan pertambahan 1 program Diploma Pengurusun Perniagaan dan program Pra Perdagangan. Berikutan pembukaan kampus baru di Jasin, Diploma Pengurusan Perladangan dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Perladangan dan Agroteknologi akan dipindahkan ke sana pada tahun 2014. Walaubagaimanapun ,UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam perangkaan membawa masuk satu program baru ke kampus ini pada tahun 2014 seperti Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan (AS246) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia (AS202), sekitar September 2013.

Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan akan membuka satu lagi kampus di negeri ini dan secara rasmi setelah siap dibina. Kampus cawangan UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang terbaharu terletak di Seremban 3 akan memulakan operasi pada tanggal 18 Januari 2014. Ia akan menempatkan seramai 5000 orang pelajar dari 3 fakulti iaitu Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Fakulti Sains Matematik dan Komputer dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi. Sebanyak 50% dari keseluruhan jumlah pelajar, iaitu sebanyak 2500 orang akan disediakan kemudahan tempat tinggal. Ini bermakna selebihnya iaitu 2500 orang lagi akan tinggal di luar kampus. Kampus Rembau merupakan kampus bongsu UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang menempatkan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Fakulti Pengurusan Maklumat dan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan.